Thursday 4 September 2014

MeNGaPa PeRLu aDa RaSa KeCewa



Pernahkah anda merasa kecewa? Pernahkah anda merasa hampa? Pasti, selagi kita bernama manusia, selagi sampan kehidupan ini kita dayung di lautan kehidupan di dunia yang penuh dengan dengan ombak dugaan dan taufan ujian, semestinya rasa yang menyakitkan itu pernah hinggap di dalam hati kita, bukan? Mengapa harus ada rasa kecewa? Mengapa perlu ada airmata duka? Dan bagaimana pula kecewa itu boleh lahir? Bukan kah indah hidup ini seandainya tiada derita?

Pertanyaan-pertanyaan sedemikian selalu benar mengetuk pintu benak kita, di saat kita dilanda rasa kecewa. Benar, bukan? Dan memang benar juga, bahawa tidak ada kecewa yang menggembirakan atau diundang.

Kecewa berasal kegagalan kemahuan ditunaikan. Dengan adanya tuntutan, kemahuan ataupun kehendak diri dan hati yang tidak dipenuhi ataupun tidak dipenuhi dengan sempurna. Tuntutan, kemahuan ataupun kehendak dalam diri manusia adalah tidak ada batasnya. Adakalanya, kita meletakkan harapan kita pada sesuatu ataupun pada sesama manusia, yang mana kemudiannya kita dihempap rasa hampa kerana harapan kita itu tidak terlaksana. Maka dengan itu, sebaik-baik tempat untuk kita gantungkan sejuta harapan adalah kepada Allah s. w. t. Kerana Dia tidak pernah menghampakan kita hambaNya yang lemah tak bermaya. Sekalipun apa yang diberinya tidak seiring dengan apa yang kita idamkan, namun, bagi mereka yang telah tanamkan pohon taqwa dan harapan kepada Allah s. w. t., akan menyedari dan memahami bahawasanya, Allah itu, Maha Mengetahui.... tidak akan diberikan sesuatu, melainkan hanya untuk kebaikan kita, hambaNya yang hina...

Pernahkah kita sedar, bahawa kecewa sebenarnya satu perasaan yang akan membangkitkan rasa-rasa yang lain? Rasa kecewa boleh mendorong perasaan cemburu, iri hati, dengki, putus asa, lemah semangat, rendah diri, serta pelbagai lagi perasaan yang lain, dan perasaan-perasaan itu boleh pula menjadi penyebab kepada perbuatan yang kita akan lakukan untuk mengurangkan atau melarikan diri dari rasa kecewa itu. Walau bagaimanapun, rasa kecewa itu juga sebenarnya adalah penawar yang pahit tapi mujarab untuk menyembuhkan penyakit jiwa yang seringkali jangkitannya terkena pada kita. Malah, kecewa juga boleh menjadi satu batu loncatan untuk kita melompat dengan lebih tinggi dan bisa menjadi satu bentuk rasa yang mampu melahirkan suara hati, kemudian pula kemahuan dan akhirnya menjana tenaga yang membuahkan tindakan, yang pastinya sesuatu yang positif untuk melahirkan sesuatu yang positif juga.

Asas kehidupan adalah perjuangan. Perjuangan dalam peperangan, dan dalam setiap peperangan, yang menjadi pertaruhan adalah kalah atau menang, jarang yang seri. Amatlah besar bahaya perjuangan ini sekiranya kita hanya bergantung dengan prestasi dan kekuatan yang rapuh. Sepertinya kita bergantung kepada ranting yang rapuh, yang mana ranting itu sendiri sebenarnya tidak punya kuasa untuk melindungi dirinya sendiri, apatahlagi yang bergantung padanya. Malah, kenyataan hidup menyaksikan, bahawa semua yang ada di dunia ini adalah terbatas oleh ruang dan waktu. Ada mula, ada akhirnya, boleh rosak, boleh berubah. Tiada yang sempurna, sesempurna Dia, yang Maha Sempurna.

Sedarkah kita, bahawa kecewa dan dukacita itu, dapat membuang kemunafikan, kepura-puraan kita, membuka ruang diri dan mengungkapkan sebagaimana apa adanya.

Dalam keadaan yang penuh kesakitan ini, kita tidak pernah mampu lagi menipu diri. Maka, sekiranya peribadi yang utuh itu milik kita, insyaAllah, kita mampu menerima luka itu sebagai berkat dan kurnia, jika sebaliknya, pasti kita menjatuhkan sumpah dan kutukan kepada luka dan kecewa itu tanpa berusaha mengenali dan mencari penawar untuknya.

Kecewa, dan duka, adalah ubat bagi jiwa untuk mengenal banyak hal. Contohnya,

- merobohkan penghalang yang membataskan hubungan antara kekuatan jasmani dengan kekuatan rohani

- menggantikan kebiasaan lama dengan yang baru (yang lebih baik)

- membuat kita bermuhasabah dan kenal diri

Bergantung kepada penerimaan, kecewa bisa saja melontarkan kita dalam gaung kemusnahan, bila kita menerima kecewa itu sebagai satu bencana, dan melawan kuasa alam.

Kehancuran diri, seperti menyiksa diri dengan mengambil alkohol, membiarkan diri hanyut dengan arus kemaksiatan, lemah semangat dan tidak mahu hidup, ataupun melepaskan dendam kecewa itu kepada orang lain, adalah antara akibat yang timbul dari penerimaan yang menerima kecewa sebagai satu bala dan tidak redha ke atas ia. Pendek kata, kecewa akan menimbulkan rasa kasihan pada diri sehingga menyebabkan kita lemah, jika kita enggan menerimanya dari sudut yang positif.

Sebaliknya, jika kita menerimanya sebagai satu hadiah dari Tuhan, kita akan menyedari, kecewa dapat menyembuhkan banyak penyakit hati contohnya kesombongan dan mementingkan diri, menjadi satu kekuatan luar biasa, yang tak pernah kita duga, untuk bangun dari rebah, berkuasa untuk berubah dan berupaya untuk mengubah, dan seribu satu macam lagi kejernihan dan kemanisan kecewa yang bakal kita kecapi dari kecewa.

Dalam menghadapi hidup, kita merempuh segunung batu halangan sebelum sampai ke destinasi tujuan. Sebelum kita mencabar gunung batu itu, tetapkanlah dulu hala tuju. Pastikan, hidup dan mati hanya untuk Allah. Hidup, yang membawa makna, makan, minum, duduk, bangun, kerja, rehat, bertemu dan berpisah, bercinta, berumahtangga, diniatkan dengan lafaz Lillahi Ta’ala. Kerana Allah Yang Esa. Mati, yang bermaksud, tempat rehat bagi kita sementara waktu menanti hari kita dibicarakan, dijatuhkan hukuman, dan menimba pembalasan. Maka, sinambungan dari hidup tadi, adalah sebagai bekalan dan tempat kita berusaha supaya tidak nanti kita gelincir dari Siratul Mustaqim.

Sekiranya kita sudah tanamkan hal yang sedemikian dalam jiwa, dan tahu bahawasanya Allah s. w. t. sentiasa menemani, melindungi dan menyayangi kita, bahawa kita tak pernah keseorangan walau dalam apa keadaan pun jua, percayalah, anda sudah tidak gentar lagi untuk menyahut cabaran gunung batu itu, walau setinggi mana pun juga. Cubalah praktikkan dalam kehidupan seharian kita, insyaAllah, kita akan merasai perlindunganNya. Kerana, yang perlu kita takutkan adalah Yang

Menciptakan gunung itu, bukan gunung itu.

Bersihkanlah kecewa itu dari rasa putus asa. Bersihkan kecewa itu dari duka yang menjadi sumber godaan syaitan yang terbaik untuk menyesatkan kita.

Bersihkanlah kecewa itu dari kutukan yang menghilangkan hikmah dari pandangan mata. Bersihkanlah kecewa!


- NaD'2014

No comments:

Post a Comment